Sejarah SekolahSekolah Kebangsaan Saujana impian telah siap dibina dan diserahkan secara rasmi oleh pihak kontraktor kepada pihak pentadbir sekolah pada 24hb Mei 1997. Sekolah ini terletak di atas tanah seluas 2.5857 Ha (6.389 ekar) berlokasi di kawasan Projek Perumahan Saujana Impian dan mula beroperasi pada 9 Jun 1997. Sekolah ini mempunyai 2 blok bangunan tiga tingkat dan kawasan berumput seluas 2.3 Ha (3.2 ekar). Infrastruktur merupakan bangunan sekolah mengikut rekabentuk yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke Enam dengan 24 bilik pembelajaran dan juga dilengkapi dengan sebuah kantin serta padang sekolah. Bilangan murid ketika itu seramai 172 orang dengan 9 orang tenaga pengajar termasuk Guru Besar serta 2 orang staf sokongan. Enam buah kelas diwujudkan pada masa itu diberi nama jenis kereta pengeluaran Proton iaitu Tahun 1 Saga, Tahun 1 Iswara, Tahun 2 Saga, Tahun 3 Saga, Tahun 4 Saga dan Tahun 5 Saga. Mulai tahun 2006 nama-nama kelas diubah kepada nama planet iaitu Musytari, Marikh, Bumi, Zuhrah dan Utarid. Pada tahun 2014, dua kelas telah dipasang smartboard untuk memantapkan PdPc. Guru Besar yang pertama mentadbir sekolah ini ialah Pn. Hjh. Hayati bt. Hj. Nordin. Tempat beliau diganti oleh Pn. Nurul Badar bt. Mohd Salleh dan diikuti oleh Pn. Hjh. Sariah bt. Ahmad dan Pn. Hjh. Roslina bt. Hj. Hashim diikuti Pn. Khatijah bt. Yusof dan Pn. Hjh. Suminah bt. Hj. Kasolang dan Guru Besar sekarang ialah Pn. Asmanor Sapura binti Shaori. Beliau telah memulakan tugasnya pada 16hb Disember 2024 hingga sekarang. Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah ini ditubuhkan pada 28hb Jun 1997. Pengerusi pertamanya ialah En. Wan Badaruddin bin Wan Ahmad Zahari. Pengerusi kedua adalah En. Ramly bin Khairuddin dan diikuti Pengerusi ketiga, Tn. Hj. Abd Rahman bin Mohd Yusof sebelum diteruskan terajunya oleh Tn. Hj. Zulkarnain bin Saim, Tn. Hj. Salahudin bin Amir Hassan dan Dr. Norakir bin Nordin. Bagi sesi persekolahan tahun 2024/2025, Pengerusi PIBG diterajui oleh Encik Fadzil Fairuz bin Abu Taroff. Bilangan guru dan murid telah bertambah dari tahun ke tahun dan pada tahun 2002 bilangan murid berkurangan kerana penubuhan sekolah baru iaitu SK Saujana Impian 2. Kini bilangan guru adalah seramai 69 orang dan staf sokongan adalah seramai 6 orang. Bilangan murid pula adalah seramai 1088 orang dengan 30 buah kelas. Sekolah Kebangsaan Saujana Impian mempunyai 2 buah kelas Prasekolah dengan bilangan murid seramai 25 orang sesi pagi dan 25 orang sesi petang. Ia juga mempunyai sebuah makmal komputer untuk menggalakkan pengajaran dan pembelajaran menggunakan ICT. Dalam masa yang singkat ini, sekolah telah mencapai beberapa kejayaan dalam bidang kurikulum. SKSI telah mendapat keputusan terbaik dalam UPSR Sekolah-sekolah Daerah Hulu Langat dan Negeri Selangor pada setiap tahun. Dalam aktiviti kokurikulum pula, pihak sekolah juga telah mencipta nama dalam beberapa pertandingan anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Hulu Langat dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Negeri Selangor hingga ke peringkat kebangsaan.
Rasmi
|